Emmanuel Part 7
Dengan hati yang gembira, Emmanuel merasakan bahawa dia kini berada di laluan yang tepat untuk merungkai misteri kehidupannya. Dia terus menuju ke tasik itu dengan harapan dapat menemui pintu rahsia tersebut.
Dari kejauhan seperti yang dijangkanya, sebuah pintu kelihatan muncul di balik awan. Yang menggusarkannya, ia berada di seberang tasik dan mustahil baginya untuk menyeberang tasik tersebut dengan begitu sahaja. Tanpa berlengah, dia mengeluarkan kristalnya lalu melihat melaluinya. Tidak disangkanya sama sekali terdapat laluan yang samar-samar kelihatan menyeberangi tasik itu. Dengan penuh keyakinan, dia meneruskan tunggangannya melewati tasik itu. Dia bagaikan tidak percaya yang dia berada di atas air sambil menunggang motorsikal!
Semakin lama semakin dia menghampiri pintu di balik awan tanpa menoleh ke belakang. Sebaik saja melepasi pintu gerbang di awan itu, dia mendapati dirinya berada di satu tanah lapang yang sungguh luas, begitu asing baginya. Motosikalnya pula berubah menjadi kuda tanpa melihat melalui Kristal. Cukup aneh perasaannya ketika itu.
Lalu turun dari kudanya, Emmanuel cuba melihat melalui kristal untuk mengetahui lebih lanjut sekitar tempat itu. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi gegaran menghampirinya, lalu Emmanuel mencari tempat untuk bersembunyi. Belumpun sempat dia hendak bersembunyi, seekor kuda putih ditunggang oleh seorang lelaki yang bertubuh sasa sudah berada di depannya.
Sambil tersenyum, lelaki asing itu berkata,"Selamat datang wahai anakku Yaohan", sambil menghulur tangannya lalu memeluknya. Emmanuel terpinga-pinga kehairanan kerana lelaki itu memanggilnya Yaohan dan bukannya Emmanuel.
" Aku bukan Yaohan tuan", balas Emmanuel pula. "Tak apa anakku, nanti kita berbicara tentang itu," lalu mengajak Emmanuel mengikutinya.
Emmanuel menurut sahaja lalu mengekori lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ayahnya itu. Dalam perjalanan itu, Emmanuel tidak berkata sepatahpun. Cuma memerhatikan keadaan sekitar tempat itu yang kelihatan sungguh indah dengan udara yang segar. Dari kejauhan kelihatan seperti sebuah istana yang tersergam indah dikelilingi bangunan seperti kota zaman dahulu kala. Emmanuel merasakan dia kembali ke zaman dahulu kala. Ingin dia bertanya sesuatu tetapi dia membatalkan hasratnya itu.
Sampai sahaja di kota tersebut, orang ramai menjalankan aktiviti seharian mereka seperti biasa sambil mereka menunduk hormat kepada mereka berdua sebaik sahaja mereka melimpas orang-orang yang berada di situ. Emmanuel merasakan bahawa lelaki yang dianggap ayahnya itu merupakan seorang yang berpengaruh di situ kerana semua yang berada di situ tunduk menghormatinya.
Setibanya di perkarangan sebuah kediaman yang cukup besar yang selayaknya dipanggil istana kelihatan seorang wanita yang amat cantik seakan-akan dikenalinya berlari ke arahnya lalu memeluknya. Emmanuel kaget sebentar. Lalu wanita itu menatapnya dan memeluknya semula.
"Engkau sudah kembali anakku Yaohan", kata-kata dari wanita itu sambil menangis kegembiraan. Inilah pertama kalinya Emmanuel dapat melihat ibunya dengan jelas kerana selama ini dia hanya melihat melalui mimpi dan kristal.
Emmanuel masih belum dapat berkata apa-apa, hanya menurut sahaja bila Munna memegang tangannya lalu menariknya masuk ke dalam istana mereka. Jerome hanya tersenyum melihat gelagat Emmanuel yang seperti kebudak-budakan itu.
Apakah ini mimpi? Emmanuel cuba mencubit tangan dan menampar-nampar mukanya tapi ternyata ianya benar.







Comments
Post a Comment