Emmanuel Part 1



Satu ketika di suatu masa, berlaku persengketaan antara dua bangsa berebut kuasa dan kawasan jajahan. Pihak yang tewas akan ditawan dan dijadikan hamba sementara yang sempat melarikan diri akan selamat buat sementara. Berlaku di sebuah daerah di antara alam nyata dan dunia fana iaitu daerah Xadizera. Mereka yang berjaya melarikan diri akan meloloskan diri ke dunia nyata dan hidup sebagai manusia biasa sementara yang kekal di alam yang satu lagi akan kekal berkuasa memiliki kuasa yang dapat menukar diri menjadi manusia dan juga kembali menjadi asal bentuk mereka iaitu utusan abadi. Pertarungan yang maha hebat terus berlaku tanpa kesudahannya kerana kedua-dua pihak memiliki kuasa yang tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana pihak. Yang pasti, mereka saling mencari kelemahan masing-masing. Segala senjata yang digunakan seolah-olah tidak berguna kerana tiada kesan ke atas mereka. Mereka adalah bangsa yang kebal, yang tidak lut kena tembakan senjata biasa apatah lagi senjata kuno seperti pedang langsung tidak memberi kesan ke atas tubuh mereka. Begitulah betapa hebatnya bangsa alam fana itu. Sebelum ini mereka hidup dalam aman damai sehinggalah berlaku perselisihan faham yang merebak menjadi perseteruan. Persengketaan antara dua puak iaitu puak Zehra dan puak Tronz sudah berlarutan berminggu-minggu lamanya. Pertempuran mereka dapat didengar dari dunia nyata dengan kedengaran bunyi guntur bertalu-talu tetapi tidak berlaku hujan. Begitulah tandanya apabila dua puak itu berperang.


Di suatu tempat di alam nyata, di sebuah rumah di kawasan yang jauh dari kejiranan, tinggal sepasang suami-isteri dikejutkan oleh panahan petir betul-betul di hadapan rumah mereka ketika mereka berdua berbaring di kamar mereka. Tiada tanda-tanda guntur tiba-tiba petir menyambar. Keduanya tidak mengendahkan panahan petir itu mungkin kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu. Malam semakin larut sehingga keduanya terlena.
Keesokan paginya, sang suami bernama Herman keluar rumah untuk memberi makanan kepada ternakannya. Si isteri, Lisa pula sibok di dapur menyediakan sarapan pagi. Mereka berdua tidak mempunyai anak walaupun sudah sepuluh tahun mendirikan rumahtangga. Mungkin belum ada rezeki buat mereka. Sedang si Lisa sibok di dapur, dia terkejut mendengar suaminya berteriak memanggilnya. "Lisa, kemari cepat!" Lisa bergegas ke luar mendengar teriakan si Herman. "Ada apa bang?" soalnya melihat si suami menunjuk ke arah satu lubang. " Lihat si anak kecil tu. Anak siapakah ini?". Si Herman masih kebuntuan.

Lisa terus memangku bayi yang kelihatan kesejukan itu. Daripada bekas tempat anak itu berada, terdapat tanda-tanda hangus seolah-olah terkena panahan petir. "Jangan-jangan petir semalam yang menghantar anak ini" bisik Herman sambil menyentuh tempat yang hangus itu. Anehnya bayi itu tidak terdapat tanda-tanda kecederaan di badannya. Herman memeriksa seluruh tempat itu untuk memastikan sesuatu sebagai tanda yang mungkin ada bersama bayi itu. Lisa terus membawa bayi itu masuk ke rumah sementara Herman masih mencari sesuatu. Betul jangkaan si Herman, dia menjumpai seutas rantai dan kalung. Dia cuba membuka kalung tersebut tapi gagal. Lalu dia kembali ke rumah. Si Lisa pula mencari baju bayi yang dia belikan dahulu yang masih dalam simpanannya. Mujurlah baju tersebut masih dalam keadaan baik dan padan pula bila dipakaikan pada si bayi itu.

Herman perlahan-lahan memangku bayi itu lalu berkata" Wahai anakku, engkau telah diutus kepadaku, akulah ayahmu. Kami berdua berjanji akan menjagamu sehingga ke akhir hayat. Engkau kuberi nama Emmanuel." Lisa menitis air mata terharu mendengar kata-kata suaminya.
Herman perlahan-lahan menyerahkan bayi itu kepada isterinya, lalu berkata, " Ini yang kujumpa di tempat tadi. Simpanlah dan serahkan kepadanya bila tiba masanya." Lisa menyambut rantai itu sambil membelek-beleknya. Ukiran rantai itu cukup unik dan tidak pernah dia melihat bentuknya yang begitu cantik. Bahannya seperti logam bercahaya bersinar-sinar bila terkena cahaya.

Di alam maya, berbeza suasananya. Persengketaan masih berlarutan. Di satu pihak puak Zehra, sepasang suami isteri bertarung menentang musuh-musuh mereka. Si suami bernama Jerome berkata kepada isterinya Munna, " Wahai isteriku, sudahkah engkau menghantar anak kita ke alam sana?". Munna menjawap "Sudah suamiku". Kelihatan airmatanya bergenang ketika itu. Hatinya sebak berpisah dengan anak kesayangannya.


Suaminya Jerome merupakan ketua puak Zehra terpaksa membuat keputusan paling sukar untuk menghantar anaknya ke dunia nyata untuk menyelamatkannya. Pilihan Munna adalah tepat dengan memilih Herman dan Lisa sebagai ibu dan ayah angkat kepada bayi mereka. Dia telah mengkaji latarbelakang pasangan itu sebelum melepaskan anaknya kepada mereka. Dia berharap anaknya akan menyertai mereka semula bila keadaan kembali pulih. Memandangkan keadaan yang tidak berkesudahan, untuk kembali seperti biasa adalah mustahil kecuali ada pihak yang menyerah kalah. Dikhabarkan pihak Tronz telah meminta bantuan daripada sekutu mereka untuk mengalahkan Zehra.


Puak Zehra mengetahui rancangan tersebut tetapi Jerome tidak berasa gentar sebab dia mempunyai pasukan tentera yang terlatih dan terhandal.


Pasukannya sentiasa bersiapsiaga dalam apa jua keadaan. Walaubagaimanapun, puak Tronz bukan calang-calang juga hendak dikalahkan. Kekuatan mereka adalah seimbang. Di lubuk hati Jerome, dia berharap anaknya akan membesar dengan sempurna dan menjadi peneraju pasukannya suatu hari nanti. Anaknya mempunyai darah pahlawan sepertinya yang pasti akan ditakuti pihak musuh.

Hari berganti hari, Emmanuel membesar seperti kanak-kanak lain dan cepat belajar erti kehidupan. Dia sentiasa membantu ibu dan ayahnya melakukan kerja-kerja ringan. Di sekolah, dia menjadi anak yang pintar dan sentiasa mendapat tempat pertama di dalam kelasnya. Cuma satu yang menjadikannya lain dari yang lain, rambutnya tidak boleh dipotong. Gunting yang digunakan untuk memotong rambutnya pasti akan patah. Sudah beberapa kali ayahnya membawanya ke kedai gunting pasti tukang gunting merungut disebabkan hal tersebut. Pihak sekolah sudah mengetahui hal tersebut dan membenarkannya berambut panjang tetapi dengan syarat rambutnya mesti diikat.


Suatu hari berlaku kekecohan di sekolahnya. Seorang remaja telah hilang kewarasan telah memasuki kawasan persekolahan dengan membawa sepucuk pistol sambil mengacu-ngacu ke arah sesiapa yang berada di sekitarnya. Kejadian tersebut telah menggemparkan seluruh daerah dan  pihak polis bergegas mengepong kawasan sekolah untuk menghindar sebarang kemungkinan. Keadaan menjadi gawat apabila ada kalangan penjaga kepada kanak-kanak di sekolah itu cuba memasuki bangunan sekolah untuk mendapatkan anak mereka tetapi dihalang oleh pihak polis. Ibu dan ayah Emmanuel mengetahui berita tersebut melalui siaran tv bergegas ke sekolah. Setiba di sana kelihatan keadaan terkawal dan pihak polis berusaha memujuk remaja berkenaan menyerah diri tetapi usaha berkenaan masih buntu. Berkemungkinan remaja berkenaan berada di bawah pengaruh dadah. Remaja berkenaan dipercayai berada di salah sebuah bilik yang dipenuhi sekumpulan kanak-kanak yang sedang belajar. Turut berada di bilik berkenaan adalah guru mereka yang tidak berupaya berbuat apa-apa kerana diugut akan ditembak sekiranya dia cuba melakukan sesuatu. Salah seorang kanak-kanak yang berada di situ adalah Emmanuel. Emmanuel menyeluk poket seluarnya untuk memeriksa samada masih terdapat batu-batu kecil yang dikutipnya di tepi jalan. Batu-batu kecil itu pernah digunanya untuk menjentik burung yang terbang dan yang anehnya, jentikannya tepat mengenai burung berkenaan walaupun ketika burung sedang terbang tinggi. Beberapa kali dia mencuba perlakuan berkenaan semuanya berhasil dilakukannya. Kali ini dia ingin mencuba menjentik pistol yang dipegang oleh remaja berkenaan yang hanya beberapa meter sahaja darinya sememangnya mudah untuk melakukannya. Ketika remaja berkenaan leka menoleh keluar tingkap bilik darjah berkenaan, Emmanuel tidak melepaskan peluang lalu menjentik pistol yang dipegang oleh remaja berkenaan. Tepat sekali jentikannya menyebabkan pistol yang dipegang remaja berkenaan terpelanting lalu tercampak keluar tingkap dan memecahkan cermin tingkap. Remaja berkenaan mengerang kesakitan kerana batu jentikan itu tadi turut terkena jarinya yang kelihatan berlumuran darah. Pihak polis yang berada berhampiran meluru ke arah bilik darjah berkenaan lalu memberkas remaja berkenaan. Apa yang dilakukan Emmanuel tadi tidak diketahui oleh sesiapa di situ kecuali seorang budak yang berhampiran dengannya iaitu Mat, teman rapatnya. Dia berpesan kepada Mat agar tidak memberitahu sesiapa berkenaan hal tersebut. Pihak polis yang datang ke situ bertanyakan kepada guru kelas mereka bagaimana kejadian itu berlaku. Guru mereka turut kebingungan tidak mengetahui kerana ia berlaku secara spontan. Remaja berkenaan dibawa keluar sambil tangannya digari. Semasa berjalan keluar dia sempat menoleh ke arah budak-budak dengan wajah yang bengis. Pistol yang tercampak keluar berada beberapa meter dari luar tingkap. Hal tersebut cukup menghairankan pihak polis kerana antara jarak tingkap yang pecah dan lokasi pistol itu tercampak memerlukan suatu tenaga yang kuat untuk melakukannya.
Sementara itu semua kanak-kanak yang berada di bilik itu dibawa keluar sambil ditemani guru. Semua dibenarkan pulang bersama penjaga masing-masing. Emmanuel pergi mendapatkan ibu dan ayahnya dan mereka meninggalkan perkarangan sekolah. Dalam perjalanan pulang, Emmanuel menceritakan apa yang berlaku. Ibu dan ayahnya tidak merasa terkejut kerana mereka mengetahui anak mereka mempunyai kuasa luarbiasa sejak dari kecil lagi. Semasa dia berumur setahun, ketika dia baru mula berjalan, kepalanya sering terhantuk di kaki meja. Yang merisaukan ibunya bukan kecederaan pada kepalanya tetapi sebaliknya meja yang patah disebabkan hatukan itu. Ibunya pernah juga melarangnya agar tidak menjentik burung lagi. Ayahnya pernah menyuruhnya menolak kereta mereka untuk menghidup enjin kereta, belumpun sempat hendak menolak, kereta sudah bergerak dengan lajunya ketika dia cuma meletakkan tangannya di belakang kereta. Dia masih terlalu muda untuk mengetahui keistimewaan yang dimilikinya.

Comments

Popular Posts