Emmanuel Part 2
Keadaan di kolej riuh-rendah dengan gelagat para penuntutnya. Berbagai karenah dan tingkah laku muda mudi kelihatan. Di satu sudut Emmanuel dan Mat sedang berceloteh tiba-tiba ditegur oleh seorang penuntut baru. Penampilannya agak formal dengan baju kot bercermin mata menunjukkan sifat seorang ulat buku. " Bolehkah aku berkawan dengan kamu berdua?". Emmanuel dan Mat saling berpandangan. " Eh...apa salahnya" jawap Emmanuel. " Namaku Emmanuel" dia meneruskan katanya. " Oh..namaku Nick" sambil dia menghulurkan tangannya. "Mat" sahut si Mat pula. Bermulalah persahabatan mereka bertiga. Nick yang sebelumnya berpakaian kemas mula mengikut jejak Emmanuel dan Mat yang cuma berpenampilan ringkas berseluar jean lusuh. Perubahan tersebut tidak disenangi oleh ayah Nick yang merupakan seorang ahli korporat yang terkenal. Dia bimbang Nick tersalah memilih kawan yang akan menyesatkannya. Nick menyakinkan ayahnya bahawa Emmanuel dan Mat merupakan antara penuntut yang pintar di kolejnya. Perkara yang membimbangkan ayahnya ialah Nick mula berjinak-jinak dengan permainan atas talian seperti DOTA 2 sejak berkawan dengan mereka berdua. Padahal sebelumnya, dia suka membuat kajian berkenaan selok-belok perniagaan yang diarahkannya. Nick mula membantah bila diberi alamat web untuk dilayari.
Inilah yang membuatkannya semakin bengang dengan Emmanuel kerana mengalih minat Nick ke permainan atas talian. Dia mula mencari jalan untuk menjauhkan Nick dari mereka berdua.
Emmanuel pula semakin berjinak-jinak dengan seni mempertahankan diri. Sejak kebelakangan ini dia sering bermimpi seseorang meminta pertolongan darinya tetapi dia tidak dapat membantu orang itu sebab dia tidak mampu menandingi musuh dalam mimpinya itu. Mimpi itu berulang-ulang datang menyebabkannya bernekad untuk mempelajari seni bela diri.
Yang menghairankan, dia begitu cepat mencapai peringkat tertinggi dalam sesuatu persatuan bela diri daripada teakwando, wushu, karate, gusti dan bermacam-macam seni bela diri dipelajari dalam masa yang singkat. Malah dia ditawarkan mewakili kolejnya untuk bertanding di peringkat lebih tinggi tetapi ayahnya melarangnya untuk bertanding demi keselamatan lawannya. Dia mungkin belum dapat mengawal kuasa yang ada di dalam dirinya. Ayahnya tahu yang dia mampu mengalahkan sesiapa saja. Cukup sekadar dia memperolehi ilmu untuk dirinya.
Sejak dia dapat menguasai seni bela diri, tiada lagi mimpi orang meminta tolong sebaliknya mimpi dia diserang bertubi-tubi sehingga dia tidak mampu lagi mempertahankan dirinya lalu dia tersedar dari mimpi. Mimpi itu pula yang menghantuinya setiap malam. Dia menceritakan perihal mimpinya kepada kepada orangtuanya. Ayahnya berpesan agar dia sentiasa berhati-hati setiap masa. Ibunya kelihatan risau mungkin itu petanda dia diminta kembali ke tempat asalnya. Mereka berdua belum bersedia untuk menceritakan kisah sebenar Emmanuel.
Hari-hari dilalui Emmanuel seperti biasa. Dia ke kolej bersama teman-teman. Teman-temannya semakin ramai dan antara yang ramai itu, seorang yang bernama Mirda menaruh hati padanya, tetapi Emmanuel menganggapnya sebagai kawan biasa seperti teman-temannya yang lain. Dia selalu mengajak teman-temannya ke rumah bersama-sama belajar sambil bermain permainan atas talian selepas selesai belajar.
Pada suatu malam, dia didatangi mimpi yang sama, seseorang menyerangnya bertubi-tubi. Pada kali ini dia cuba mempertahankan diri dengan menggunakan tektik permainan atas talian. Nampaknya serangan orang itu dapat dipatahkannya tetapi mereka datang semula dengan bilangan yang lebih ramai. Dia berundur, mencuba tektik yang lain malangnya dia terjaga dari mimpinya. Sepanjang hari itu dia mengkaji menggunakan permainan komputernya untuk mencari penyelesaian kepada mimpinya. Akhirnya dia menemui idea yang mungkin dapat digunakan untuk menewaskan musuh dalam mimpinya itu.
Ayah Nick menghantar beberapa orang suruhannya menjejaki Emmanuel. Mereka mengekori ke mana saja Emmanuel pergi. Dia sangsi samada Emmanuel betul-betul budak yang baik atau sebaliknya. Setelah beberapa lama mengekori Emmanuel, barulah mereka melapor kepada ayah Nick bahawa Emmanuel sebenarnya seorang yang baik. Ayah Nick masih tidak berpuas hati sebab Nick sudah dipengaruhi mindanya dan tidak lagi menurut telunjuknya. Akhirnya dia mendapat idea lalu menyuruh Nick memperlawa teman-temannya termasuk Emmanuel belajar sambil berhibur di rumahnya. Pada mulanya Nick agak keberatan tapi akhirnya akur pada ayahnya. Dia tahu ayahnya mungkin berniat jahat kerana selama ini dia terlalu meluat mendengar nama Emmanuel.
Hari yang dijanjikan tiba, Emmanuel bersama empat temannya, Mat, Mirda dan Sophia tiba di rumah Nick. Tapi sebelum itu, Nick telah memberi peringatan kepada Emmanuel supaya berwaspada kepada tindak tanduk ayahnya. Ini mungkin perangkap untuk memburuk-burukkan reputasi Emmanuel. Emmanuel sudah bersedia untuk itu. Seperti biasa mereka dipelawa memasuki rumah. Rumah mewah yang tersergam indah. Sesuai dengan tarafnya seorang ahli korporat yang berjaya. Nick mempelawa teman-temannya belajar di bilik bacaan.
Tiba sahaja di bilik bacaan, masing-masing mengambil tempat duduk dan mengeluarkan nota dan laptop masing-masing. Nick mengatakan di situ ada wifi untuk kegunaan mereka. "Teman-teman, buatlah macam rumah sendiri ya. Aku nak ke dapur kejap nak ambil minuman untuk kita", Nick bersuara. "Eh..tak payah susah-susah kawan", Emmanuel menyampuk. Nick berlalu tanpa mengendahkan kata-kata Emmanuel. Tidak lama selepas itu Nick kembali dengan memegang minuman tin serta snek dan diletaknya di tengah-tengah meja tempat mereka duduk. Mereka berlima meneruskan perbincangan mengenai pelajaran mereka. Emmanuel ni, kalau dia sedang belajar, dia akan belajar bersungguh-sungguh. Kalau dia bermain di komputernya, dia akan bermain bersungguh-sungguh. Begitulah tabiatnya. Dia tidak suka diganggu bila dia sedang menumpu perhatian terhadap sesuatu perkara. Dalam suasana tenang, Emmanuel berbisik kepada Nick, " Mana kedua orangtua mu?". "Ayah ada hal penting terpaksa ke pejabat. Mungkin dia balik lewat hari ni. Ibu dengan adikku keluar membeli-belah. Beginilah keadaan di sini sunyi bila kita tiada kuliah." Nick mencelah. Memang sunyi di situ dengan ruang rumah yang besar, patutlah Nick terasa gembira bila bersama dengan Emmanuel dan temannya supaya dapat lari dari kesunyian. Setelah selesai mengulangkaji, Mat yang dari tadi tidak sabar-sabar hendak bermain online terus mengemaskini aplikasi game memandangkan ada Wifi percuma di situ. Sedang mereka bersiap hendak memulakan permainan, tiba-tiba henfon Sophia berbunyi. Dia menerima sms menyuruhnya segera pulang. "Aduh...kawan. Aku terpaksa pulang dulu. Ibu menyuruhku pulang, ada hal penting katanya". Sophia berkata. Emmanuel terus memandang Nick lalu berkata, " Minta maaf Nick, kami balik dulu. Kami datang berempat, pulang pun mesti berempat. Lain kali kita ke sini lagi ya", sambil memegang bahu Nick. " Tidak mengapa kawan. Kamulah kawan selama-lamanya", sahut Nick dengan nada lemah. Setelah berkemas, mereka pun meninggalkan rumah berkenaan. Keadaan hari pun tidak memihak kepada mereka. Cuaca kelihatan mendung. Mereka berempat mempercepatkan langkah agar segera sampai ke rumah masing-masing.
Ketika Emmanuel hampir sampai ke rumahnya tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya.
Emmanuel mempercepatkan langkahnya kerana menjangkakan panahan kilat tersebut menuju ke arah rumahnya. Melihat tiada orang di sekitarnya, Emmanuel pun berlari sepantas kilat menuju rumahnya. Inilah pertama kalinya dia menguji kekuatan lariannya yang dia sendiri tidak menjangka dapat melakukan larian sepantas itu. Setiba di rumah, dia memerhati satu tempat kelihatan asap berkepul-kepul keluar dari rekahan akibat panahan petir tadi. Dia cuma memerhati dari jauh tetapi dia merasakan dapat melihat dengan jelas sekali seolah-olah dia menggunakan teropong. Dari rekahan itu, tiba-tiba keluar sebelah tangan yang berasap dan selepas itu tangan yang satu lagi keluar diikuti kepala dan akhirnya keseluruhan tubuh seorang wanita bercahaya berdiri sambil merenung ke arah Emmanuel.
Emmanuel cuba bersembunyi di sebalik dinding tepi rumahnya. Dia menoleh kembali, ternyata wanita berkenaan masih merenung ke arahnya. Perasaannya tidak pernah rasa setakut itu. Dia cuba menoleh semula, alangkah terkejutnya dia, wanita itu telah berada dia depannya. Tiba-tiba tempat itu diterangi cahaya yang menyilaukan mata. Emmanuel terpaksa menutup mata. Apabila dia membuka matanya semula, alangkah terperanjatnya dia, bila mendapati dirinya terbaring di katilnya. Ayahnya kelihatan duduk di sisinya. "Ayah...apakah yang berlaku?" kata-kata keluar dari mulutnya. "Anakku, kamu pengsan di tepi rumah tadi. Adakah kamu ada menguji kekuatanmu sehingga tubuhmu tidak mampu menanggungnya?" ayahnya bersuara. "Tidak ayah, aku cuma berlari pulang bila melihat kilat menyambar di sebelah rumah kita. Selepas itu aku melihat sesuatu.." kata-kata tersekat di situ. " Usah risau anakku. Masanya akan tiba bila kamu harus menggunakan kuasa mu. Jangan gunakan sesuka hatimu". Lalu ayahnya bangun meninggalkannya kebingungan memikirkan siapakah wanita yang dilihatnya tadi.









Comments
Post a Comment