Emmanuel Part 4
Tidak terasa langkah kaki Emmanuel sampai ke tepi tasik tempat mereka memancing petang tadi. Dia tidak perasan kenapa dia berada di situ dan bagaimana dia boleh sampai ke situ. Apa yang dia ingat ialah dia mengikut seseorang wanita yang serupa dilihatnya beberapa minggu yang lepas iaitu sebelum dia didapati pengsan oleh ayahnya. Wanita itu seolah-olah mengajaknya pergi mengikuti dia sehinggalah dia berada di tasik itu. Wanita itu seperti berjalan di permukaan air sambil melambai-lambaikan tangannya agar Emmanuel terus mengikutnya. Dengan teragak-agak dia berjalan di permukaan air. Dia meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan bahawa dia sedang berjalan di atas air.
Tiba di satu tempat, wanita itu melayang lalu lesap tetapi muncul semula sambil tersenyum memandang tepat ke arahnya tanpa berkata-kata. Emmanuel merasakan seperti dia pernah melihat wanita itu sebelum ini tapi entah di mana. Lama mereka berpandangan tanpa sepatah perkataan pun keluar dari mulut mereka berdua. Entah kenapa Emmanuel berasa begitu tenang perasaannya bila menatap wajah wanita berkenaan. Akhirnya wanita itu menunjukkan satu arah lalu dia berjalan ke arah yang ditunjukkan kepada nya. Wanita itu terus mengarahkan nya meneruskan perjalanannya. Perlahan-lahan dia berjalan mengikut arah yang ditunjuk oleh wanita itu. Bila dia menoleh ke belakang, wanita itu sudah tidak kelihatan. Belumpun sempat dia hendak meneruskan langkahnya semula, dia mendapati dirinya sudah berada di biliknya. Dia cuba menampar-nampar mukanya untuk memastikan samada dia bermimpi atau tidak, terasa juga dia bukannya bermimpi. Tiba-tiba terpancar cahaya yang terang dari luar melalui tingkap yang begitu menyilaukan mata.
Wanita itu kelihatan terapung-apung berada di depannya seperti bayang-bayang sambil memegang sebiji buah epal yang bersinar-sinar lalu meniup buah epal itu ke arahnya. Buah epal itu menjadi seperti kepulan asap bila ditiup wanita itu. Setelah itu wanita hilang dari pandangannya dan biliknya kembali dalam keadaan gelap. Emmanuel tidak semena-mena lalu terlelap di kala itu juga.
Dia bangun pada pagi itu sambil memikirkan kejadian malam tadi. Seperti nyata tetapi juga seperti mimpi. Masih menyandar di katilnya sambil memerhati ke luar tingkap. Lalu bangun tiba-tiba dia terpandang sebiji epal di atas meja di atas bukunya. Dari manakah epal itu datang? Adakah epal itu yang ditiup wanita itu? Persoalan yang terngiang-ngiang di fikirannya. Lalu memegang epal itu sambil memerhatinya. Tiada kelainan pada buah tersebut. Teringin juga dia hendak memakan epal itu. Ketika dia cuba menggigit buah itu, tiba-tiba buah itu menjadi asap putih lalu memasuki mulutnya. Dia dapat merasakan asap itu melalui kerongkongnya. Anehnya dia rasa seperti sudah memakan epal tersebut walaupun tidak mengunyahnya. Dia dapat merasakan kemanisan rasa epal itu. Dia bangun lalu ke bilik air untuk membersihkan dirinya. Setelah itu dia ke dapur untuk bersarapan bersama ayah dan ibunya. Di atas meja di dapur, dia melihat satu nota kecil tulisan ayahnya mengatakan mereka berdua ke pasar tani membeli keperluan seharian mereka. Sudah tersedia sarapan untuknya di atas meja.
Ketika sedang bersarapan tiba-tiba satu panahan petir betul-betul terjadi di hadapan rumah. Dia bangun untuk melihat di manakah sasaran kilat yang menyambar itu. Berdiri di luar pintu, dia memerhati ada kepulan asap keluar dari satu lubang tidak berapa jauh dari rumahnya. Kelihatan seorang wanita sedang mengendong bayinya sambil menyusukan anaknya. Tubuh wanita itu kelihatan bersinar-sinar dan berasap halus. Wanita itu yang dilihatnya beberapa minggu yang lepas dan juga ditemuinya malam tadi. Emmanuel semakin bingung melihat kejadian itu. Lalu dia berjalan menghampiri wanita itu . Kelihatannya wanita itu tidak mengendahkan kehadirannya di situ sambil terus menyusukan anaknya dengan susu badannya. Setelah selesai menyusukan anaknya, dia meletakkan anaknya semula ke dalam lubang itu. Anak itu terlena. Kelihatan wanita itu menitiskan air matanya bila meletakkan anaknya di situ. Emmanuel cuma mampu memerhati sahaja perlakuan wanita itu. Tiba-tiba wanita itu hilang sekelip mata. Di kala itu juga kedengaran suara ayahnya berteriak memanggil ibunya. Emmanuel menoleh ke arah ayahnya yang sedang menunding jari ke arah anak itu. Ibunya berlari-lari ke situ lalu mendapatkan anak itu. Anehnya gelagat kedua orangtuanya itu langsung tidak memperdulikan keberadaannya di situ. Dia seolah-olah tidak wujud di kala itu. Dan yang menghairankannya juga, bila pula masa ayah dan ibunya pulang dari pasar sedangkan keduanya masih di pasar ketika dia melihat kejadian itu tadi.
Ibunya membawa anak itu masuk ke rumah manakala ayahnya berlegar-legar di situ seperti mencari sesuatu lalu terjumpa seutas rantai. Dengan tidak berlengah lagi dia kembali ke rumah. Emmanuel mengikut ayahnya dari belakang. Di ruang tamu, kelihatan ibunya sedang mengenakan pakaian pada anak itu. Setibanya di situ, perlahan-lahan ayahnya mengangkat anak lalu mengendongnya sambil berkata sesuatu. Tiba-tiba kedengaran ayahnya menyebut namanya pada anak itu. Rupa-rupanya kejadian itu merupakan masa silamnya. Patutlah kesemua mereka tidak mengendahkan kehadirannya. Dia melihat dengan jelas kejadian asal-usulnya. Barulah dia faham, rupanya wanita yang ditemuinya itu adalah ibu kandungnya. Ibu dan ayahnya yang ada sekarang merupakan ibu dan ayah angkatnya. Mungkinkah setelah memakan epal itu membawa dia melihat kembali masa lalunya. Lama-kelamaan kelihatan kedua orangtuanya bersama anak itu perlahan-lahan hilang dari pandangannya. Ketika itu barulah dia terfikir kenapa dia mempunyai kemampuan luarbiasa yang tidak dimiliki oleh manusia biasa. Pada saat itu juga dia terfikir kenapa ibunya menyerahkannya kepada keluarga angkatnya. Bermacam-macam andaian timbul di sanubarinya. Mungkin ada sebabnya dia berbuat demikian ketika melihat ibunya menangis ketika meletakkannya semula di lubang itu. Emmanuel bangun lalu bergegas ke arah lubang tempat ibunya meletaknya itu. Di situ dia cuba menggunakan pancaindera matanya untuk mengesan sesuatu jika ibunya ada meninggalkan sesuatu untuknya di situ. Betul jangkaannya, di lapisan bawah tempat dia berbaring masa kecilnya, ada sesuatu benda berbentuk seperti kristal bersinar-sinar, berada lebih kurang sekaki di dalam tanah. Dia mengorek tanah lalu mengambil kristal itu. Setelah membersihkan kristal itu, dia meletakkannya di meja di bilik tidurnya.
Dia mengharapkan batu kristal itu dapat menghubungkan dia dengan ibu kandungnya.






Comments
Post a Comment