Emmanuel Part 8

 Emmanuel masih terasa seperti berada dalam mimpi namun ternyata semuanya adalah nyata. Ibu dan ayah kandungnya berada di depannya. Dia sekarang berada di tempat asal kelahiranya. Betapa dia tidak menyangka yang dia berasal dari dunia yang sungguh asing baginya. Dunia yang cukup berbeza dan janggal baginya. 



Tiada kenderaan, bangunan pencakar langit mahupun lagi komputer. Tetapi dia belum mengetahui lebih dalam lagi kerana dia baharu sahaja tiba di situ. Sebenarnya dunia yang dipijaknya itu jauh lebih maju daripada dunianya kini. Malah orang-orang di situ mempunyai kelebihan tersendiri yang jauh lebih berkuasa daripada manusia biasa. Lebih tinggi darjat seseorang itu maka dia mempunyai kelebihan yang melebihi orang lain seperti Jerome, ayahnya Emmanuel ataupun Yaohan. Namun Emmanuel belum mengetahui keupayaannya lagi. Dia cuma mengetahui yang dia berupaya berlari pantas, melontar sesuatu sepantas peluru, melihat dengan jelas benda yang berbatu-batu jauhnya. 



Di saat dia sedang berehat di kamarnya, sambil merenung ke luar jendela, dia sempat mengamati ukiran struktur dinding biliknya. Sungguh halus seni ukirannya. Diperbuat daripada batu marmar. Dia kehairanan, dari manakah mereka memperolehi batu marmar tersebut sedangkan jika dilihat sekeliling tempat itu tidak terdapat kuari mahupun kilang membuat marmar tersebut. Bentuk katil tempat dia berbaringpun cukup menghairànkannya. Ukiran yang sungguh mengkagumkan. Hasil senireka seseorang yang cukup mahir. 

Tatkala sedang asyik memerhati keadaan sekitar, tiba-tiba ibunya muncul di balik pintu sambil tersenyum menyapanya. " Anakku, mari ikut ibu. Ada sesuatu yang ingin kami bicarakan." Emmanuel terus bangkit lalu mengikut ibunya.

Setibanya di ruang tamu yang besar, kelihatan ayahnya sedang menikmati buah-buahan yang ada di meja. " Mari anakku," sambil memberi isyarat tanda mengajaknya makan buah-buahan di situ. Tanpa segan silu, dia menurut sahaja.

"Anakku, kau jangan risau dengan ibu dan ayah mu di sebelah sana. Ayah akan berpesan dengan mereka supaya jangan risau tentangmu." 

Emmanuel mengangguk faham. "Engkau akan tinggal di sini selama beberapa hari..." sambil tersenyum dia meneruskan kata-katanya. " Ayah ingin memberimu sesuatu yang belum engkau ketahui. Kita akan mulakan esok pagi," katanya sambil menepuk-nepuk bahu Emmanuel. Ibunya tersenyum riang melihat Emmanuel mula serasi dengan ayahnya. "Nanti ayah akan bawa engkau bersiar ke sekitar kota agar engkau tidak kekok dengan keadaan di sini," tambahnya.




Seperti yang diucapkannya, mereka berdua bersiar-siar keliling kota menunggang kuda masing-masing. Sambil melalui sekumpulan orang-orang yang lalu-lalang di situ, kedengaran orang memanggil " Tuan muda Yaohan, selamat kembali! Emmanuel terkejut. Ada yang mengenalinya di situ padahal dia baru sahaja tiba di situ. Dia tersenyum sambil mengangkat tangan ke arah orang yang menyapanya. Sebenarnya dia masih kekok dengan nama Yaohan itu.  Walaubagaimanapun dia cuba menyesuaikan diri dengan nama itu. Keadaan kota itu samalah seperti keadaan bandar di dunia nyata cuma perbezaannyà keadaan di situ seperti di zaman purba yang tiada elektrik dan air paip. Kenderaan utama di situ adalah kuda.



Ayahnya memanggil dua penunggang kuda yang berada tidak jauh dari situ lalu berbucara dengan mereka. Emmanuel dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh ayahnya kepada mereka berdua walaupun dia berbicara dengan perlahan. Itulah antara kelebihan yang dimilikinya walaupun dia tidak mengetahui nya. Kelebihan itu hanya dimiliki oleh keturunan Jerome. Orang lain tidak memiliki panca indera pendengaran yang tajam seperti itu. Antara kelebihan lain yang belum diketahuinya adalah dapat melihat dengan jelas di malam gelap gelita. 

Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba ayahnya lesap tanpa memberitahunya. Dia cuma mengalih pandangan seketika ke arah lain semasa ayahnya berbicara dengan kedua orang itu tadi. Ini membuat nya terpinga-pinga. Emmanuel berlegar-legar di kawasan itu sambil memerhati di manakah keberadaan ayahnya. 

Sebenarnya dia dapat menjejaki di mana keberadaan ayahnya sekiranya dia dapat mendalami keupayaannya tetapi dia belum terfikir ke arah itu. Dia mengandaikan mungkinkah ayahnya ada urusan dengan kedua orang yang ditemui tadi. 

Comments

Popular Posts