Emmanuel Part 9
Emmanuel kebingungan ke mana arah hendak ditujunya. Tanpa berfikir panjang, dia menarik kudanya agar meneruskan perjalanan. Perlahan-lahan memgelilingi kota tanpa ditemani sesiapa. Tiba di suatu tempat kelihatan sekumpulan orang mengerumuni sesuatu yang tidak dapat dipastikannya. Dia menghampiri gerombolan itu lalu turun dari kudanya dan menambatnya di tepi jalan.
Sambil berhimpit-himpit, dia melihat dua pemuda kelihatan bergelutan sambil orang di sekeliling mereka berdua bersorak-sorakan. Rupanya keduanya beradu kekuatan untuk membuktikan siapa lebih hebat. Susuk tubuh keduanya berotot dan sasa. Pergelutan yang nampaknya seimbang tidak menunjukkan pihak yang mana akan mengalah. Hinggakan keduanya kelihatan keletihan. Setelah mendapat semula tenaga, pertarungan diteruskan.
Kali ini mereka bertarung menggunakan senjata pula. Tetakan, tepisan silih berganti. Keduanya cukup hebat, sama-sama gagah. Tiada pemenang antara mereka. Melihatkan keduanya sama kuat, salah seorang daripada pemuda itu mencabar orang yang berada di situ untuk beradu kekuatan dengannya. Tiada seorangpun berani menyahut cabarannya. Tiba-tiba Emmanuel terasa badannya ditolak dari belakang menyebabkannya terhumban ke depan dan betul-betul berhadapan dengan pemuda yang gagah itu.
" Maafkan aku wahai sahabat. Tak sengaja, ada orang menolakku masuk ke sini." kata Emmanuel dengan terketar-ketar.
" Usah merendah diri sahabat. Tunjukkan apa adamu." ujarnya dengan selamba sambil menggerak-gerakkan kedudukannya untuk menghadapi Emmanuel.
Dengan tidak semena-mena, orang ramai mula melaungkan nama Yaohan untuk membakar semangatnya.
Dengan rasa serba salah, dia menurut saja. Pada ketika inilah dia akan menggunakan kemahiran seni beladiri yang dipelajari selama ini. Dia tidak pernah mengikuti pertandingan kerana dikuatiri lawannya akan mendapat kecelakaan. Tanpa disangka-sangka pemuda tersebut melepaskan tumbukan keras ke arah mukanya tapi sempat dielakkannya. Bertalu-talu pemuda itu melakukan serangan tetapi semuanya dapat ditepis dan dielak oleh Emmanuel. Ini membuatkan pemuda itu agak meradang lalu mencapai senjatanya lalu membaling sebilah lagi pedang ke arahnya untuk digunakannya.
Dengan pantas juga dia meluru ke arah Emmanuel lalu kedengaran bunyi pedang bertembung disertai dengan percikan api. Emmanuel hanya mengelak dari serangan dan tidak membalas serangan. Dia tahu, kalau dia menggunakan kekuatan sebenarnya, dia mampu menewaskan pemuda itu dengan mudah. Merasakan lawannya itu terlalu sukar untuk dikalahkan, pemuda itu memanggil pemuda yang ditentangnya tadi untuk membantunya. Kini pertarungan dua melawan satu berlaku. Bukan mudah untuk mengalahkan Emmanuel. Dia memiliki kemahiran seni beladiri menggunakan senjata dan juga tanpa senjata. Di sebalik keriuhan di situ, kelibat Jerome juga kelihatan di situ tanpa disedari oleh orang di situ kerana mereka menumpukan sepenuh perhatian pada pertarungan di tengah gelanggang. Sebenarnya semua ini adalah rancangan Jerome bersama dua lelaki yang ditemuinya sebelum ini. Dia ingin mengetahui sejauh mana kemampuan yang dimiliki anaknya itu.
Di tengah gelanggang pula, Emmanuel bersiap-sedia menanti serangan daripada kedua pemuda tersebut.
Kesemua orang yang berada di situ terdiam dengan penuh debar bakal menyaksikan suatu pertarungan yang maha hebat seolah-olah menyaksikan pertarungan sebenar di medan perang.
Dengan tiba-tiba dari arah kiri dan kanan mereka berdua melompat ke arah Emmanuel sambil menghunus pedang....
Ikutilah kisah selanjutnya nanti.




Comments
Post a Comment